NARATHIWAT 14 Mac – Seorang penduduk tempatan maut dan tiga renjer cedera dalam kejadian serangan bom dan tembakan yang berlaku secara berasingan dalam tempoh 48 jam lalu di Narathiwat.
Kes terbaharu berlaku pada 8.45 pagi ini waktu tempatan di Kampung Sompoi, Daerah Bachok apabila sebutir bom buatan sendiri seberat lima kilogram diletupkan di tepi jalan raya Pattani-Narathiwat dan menyebabkan penduduk tempatan, Cekmek Senik, 54, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Bachok.
Penolong Ketua Polis Daerah, Kapten Polis Panom Ampawan berkata, bom itu dipercayai menyasarkan sebuah kereta dinaiki enam renjer yang sedang meronda di tempat kejadian.
“Suspek yang bersembunyi di kawasan itu telah mengaktifkan bom dengan menggunakan walkie-talkie namun tidak mencederakan renjer. Mangsa yang sedang bersarapan di sebuah kedai makan di tepi jalan terkena serpihan bom dan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di hospital,” katanya.
Kejadian itu menyusuli dua insiden semalam yang turut menyasarkan pasukan keselamatan.
Insiden pertama berlaku kira-kira 10.10 pagi waktu tempatan yang menyaksikan sebutir bom paip buatan sendiri dilontarkan ke pos kawalan polis di Yingo.
Jurucakap polis Yingo berkata, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dua suspek yang berpakaian wanita dan menutup muka menaiki motosikal melontarkan bom paip tersebut ke arah pos kawalan.
Ketika kejadian itu, dua pegawai polis yang berada di tempat kejadian berjaya menyelamatkan diri apabila melihat bom dilontarkan ke arah pos kawalan, katanya.
Dalam kejadian kedua, kira-kira 10.40 malam semalam (waktu tempatan), tiga anggota tentera cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah markas tentera yang terletak di Kampung Sipangan, Tak Bai. – BERNAMA











