RANTAU PANJANG 14 Mac. – Sebanyak 12,608 kilogram ayam sejuk beku dari Thailand yang tidak mempunyai dokumen sah dianggarkan bernilai RM204,864 telah dirampas oleh Agensi Kawasan Sempadan (Aksem) dalam serbuan di sebuah premis di Machang pada 5 Mac lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Makanan (Maqis) Saiful Yazan Alwi berkata, kesemua ayam sejuk beku yang dirampas itu tidak mempunyai permit import dan sijil halal daripada badan halal yang diiktiraf dari negara pengeksport.
Menurutnya, selain ayam sejuk beku pihak Aksem turut menyita empat buah lori yang digunakan untuk mengangkut bahan tersebut.
“Anggaran keseluruhan sitaan termasuk ayam sejuk beku dan empat buah lori itu dianggarkan berjumlah RM521,864,” katanya dalam sidang akhabar di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Aksem Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Saiful Yazan memberitahu, perbuatan mengimport tanpa permit sah dari Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. – UTUSAN ONLINE











