KUALA LUMPUR 14 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah menahan 16 individu termasuk dua warga tempatan selepas memintas dua bot jongkong dalam Op Sejahtera di Timur Laut Pulau Gaya, Sabah awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 3 pagi itu, dua warga tempatan tersebut bertindak sebagai tekong manakala 14 lagi merupakan awak-awak warga Filipina.

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, kedua-dua bot jongkong itu dipintas kira-kira 300 dan 500 meter di Timur Laut Pulau Gaya dipercayai menuju ke laut dalam di sekitar kawasan pelantar minyak.
“Hasil pemeriksaan dalam bot tersebut, kita menemukan tujuh buah bot kecil enjin sangkut tanpa lesen, tiada nombor pendaftaran serta nama tekong tidak sama seperti dalam syarat sah lesen.
“13 awak-awak warga Filipina tersebut memiliki dokumen Jabatan Ketua Menteri yang meragukan manakala seorang lagi mempunyai dokumen IMM13,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kamaruszaman, kesemua bot dan individu yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
“Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut terhadap bot-bot yang ditahan berkenaan dengan penglibatan mereka dalam pencerobohan kawasan larangan di pelantar minyak di pantai Barat Sabah ekoran aduan awam yang diterima,” tegasnya.

Tambahnya, orang awam dimohon menyalurkan maklumat segera bagi menghalang kegiatan mencuri hasil laut di perairan negara dan sebarang maklumat serta aduan boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi MN Sabah 088-270165 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebarang kes kecemasan di laut. – UTUSAN ONLINE











