KUALA LUMPUR 14 Mac – Pemaju hartanah lebih optimistik terhadap prospek industri harta tanah untuk separuh kedua 2019 berdasarkan sentimen pengguna yang lebih baik.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir. Soam Heng Choon berkata, berdasarkan hasil tinjauan industri hartanah separuh kedua 2018 yang dijalankan REHDA, untuk separuh pertama tahun ini prospek industri ekonomi dan perniagaan serta industri hartanah kekal neutral.
“Pemaju merasakan terdapat peningkatan dalam jumlah kedatangan pelanggan ke galeri jualan mereka, oleh itu mereka menjangkakan mempunyai peluang yang lebih baik untuk meningkatkan jualan mereka berbanding tempoh enam bulan yang lalu,” katanya pada sesi taklimat media di sini hari ini.
Tinjauan industri hartanah separuh kedua 2018 itu dijalankan ke atas 121 ahli REHDA di Semenanjung.
Berdasarkan tinjauan tersebut, 41 responden merancang untuk melancarkan 8,991 buah hartanah pada separuh pertama tahun ini, yang terdiri daripada 3,637 buah strata dan 5,210 buah bertanah.
Bagaimanapun, 78 peratus responden menjangkakan prestasi jualan mereka 50 peratus lebih rendah dalam tempoh tersebut.
Dalam pada itu, Heng Choon berkata, prestasi jualan hartanah pada separuh kedua tahun lalu menyaksikan penurunan sebanyak lapan peratus dengan sebahagian besar hartanah yang terjual merupakan unit kediaman. Katanya, hanya 5,066 buah unit hartanah terjual sepanjang Jun hingga Disember 2018 berbanding 6,510 buah pada separuh pertama 2018. Beliau berkata, daripada jumlah itu, hartanah jenis kondominium dan pangsapuri serta rumah teres dua hingga tiga tingkat mencatatkan penjualan tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 2,023 buah dan 1,793 buah. “Kebanyakan unit kondominium dan pangsapuri yang terjual adalah di kawasan Bukit Kerinchi dan Cheras manakala Setia Alam dan Serendah merupakan lokasi popular bagi unit kediaman teres dua hingga tiga tingkat,” katanya. -UTUSAN ONLINE











