KUALA LUMPUR 14 Mac- Lelaki berperwatakan wanita yang berbogel sambil melakukan aksi lucah di sekitar Jalan Imbi, berhampiran persimpangan lampu isyarat Bukit Bintang di sini semalam direman selama 14 hari.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, reman itu bermula semalam sehingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan polis untuk mengenal pasti motif sebenar individu itu bertindak sedemikian.
Menurutnya, pihak polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan individu itu menghadapi tekanan.
“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 29 tahun dan berasal dari Filipina itu dikesan kerap memasuki negara ini sebagai pelancong namun semakan lanjut sedang dilakukan. Suspek kini ditahan di Lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan- kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Semalam, aksi lelaki yang tidak berpakaian berjalan di tengah jalan raya sekitar Jalan Imbi di sini dirakam orang ramai serta tular di dalam laman sosial.
Lelaki terbabit turut didapati berdiri di atas sebuah kereta sebelum menuju ke arah kereta lain.
Dia turut dilihat menuju ke tepi dan tengah jalan selain ke arah tiang lampu serta melakukan aksi lucah.
Difahamkan, orang ramai yang melihat kejadian berkenaan kemudian memaklumkannya kepada pihak polis.- UTUSAN ONLINE











