KUALA LUMPUR 14 Mac – Seorang lelaki bertindak seperti samseng apabila mencekik leher seorang pemuda kerana berang diminta mengalihkan kenderaannya dalam kejadian di Damansara, Petaling Jaya pada Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa berusia 37 tahun dikatakan meletakkan keretanya di tempat letak kenderaan di lokasi berkenaan sebelum dihalang kereta lelaki terbabit.
Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang menaiki Proton Savvy meminta suspek mengalih kereta Honda miliknya yang menghalang kenderaannya.
Bagaimanapun,suspek yang sedang bersembang dengan seorang wanita di situ tidak mengendahkan permintaan mangsa.
“Mangsa sekali lagi meminta suspek yang menaiki kereta Honda itu untuk mengalihkan kenderaannya, namun lelaki itu bertindak menengking mangsa.
“Selain itu, lelaki itu turut bertindak agresif membuka pintu kereta mangsa lalu mencekik dan meletakkan lutut di dada mangsa,” kata satu sumber kepada akhbar tersebut.
Mengulas lanjut sumber tersebut memberitahu, mangsa kemudiaannya cuba keluar dari keretanya, namun dia ditumbuk lelaki terbabit di bahagian muka.
“Mangsa yang pening akibat serangan itu cuba memeluk lelaki terbabit dari arah belakang, namun dia terus menumbuk mangsa berkali-kali sebelum beredar.
“Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,”. katanya.-UTUSAN ONLINE











