JOHOR BAHRU 14 Mac – Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menafikan sebuah petikan tajuk berita yang berjudul ‘Tidak perlu pindah penduduk kerana rumah boleh ditutup pintu’ seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Johor, tajuk berita tersebut adalah tidak tepat dan tidak mengambarkan keseluruhan penjelasan mengenai situasi semasa dan keperluan memindahkan penduduk.
“Penilaian yang dibuat oleh Jawatankusa Pengurusan Bencana Negeri mendapati kawasan sekolah dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi setelah mengambil kira struktur bangunan yang terbuka manakala orang awam yang tinggal di kawasan perumahan yang lebih tertutup dan terlindung pula paling kurang terdedah kepada risiko pencemaran.
“Rupa bentuk struktur bangunan antara kegunaan awam seperti sekolah (tinggi dan terbuka) dengan rupa bentuk premis peribadi seperti rumah menjadi faktor penting bagaimana kawalan boleh dilakukan dari merebaknya pencemara,” tulisnya menerusi laman facebook rasminya hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, berdasarkan laporan serta nasihat daripada agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut, satu tindakan proaktif telah diambil serta pemantauan secara rapi, maka Jawatankuasa Bencana Negeri mendapati tiada keperluan untuk memindahkan penduduk memandangkan keadaan adalah terkawal.
“Bagaimanapun, langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, hendaklah dipatuhi oleh orang ramai,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tajuk tersebut secara jelas dan sememangnya tidak masuk akal malah penularan paparan ini ternyata berniat jahat, tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memburukkan nama Osman serta memberi gambaran yang salah mengenai kedudukan situasi itu. – UTUSAN ONLINE











