DUNGUN – Seorang pengusaha warung makan wanita maut manakala empat lagi termasuk suaminya cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 88, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Bukit Bauk di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, Hasnah Awang, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman.
Suaminya, Mohd. Rozi Mukhtar, 52, yang memandu kereta Proton Satria, pemandu kereta Proton Viva, Muhammad Iqmal Basysyar Haidi, 18, dan penunggang motosikal jenis Honda FS150FJ, Tengku Zainudin Tengku Setapa, 55, pula cedera parah.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Aqil Shahmi Rosli, 18, yang merupakan penumpang kereta Perodua Viva hanya cedera ringan di bahagian dagu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian,
sewaktu melalui lokasi kejadian, kereta Proton Satria yang dipandu Mohd. Rozi dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta Perodua Viva.
“Tengku Zainudin yang menunggang motosikal Honda FS150FJ yang berada di belakang kereta Perodua Viva itu pula tidak dapat mengelak lalu merempuh kenderaan terbabit” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE











