SPM: Pelajar hidap penyakit sendi cemerlang - Utusan Malaysia

SPM: Pelajar hidap penyakit sendi cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA – Sentiasa berfikiran positif dan menerima kekurangan diri menjadi rahsia kejayaan seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang meraih keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan semalam.

Aida Solehah Ahmad Fauzi, 18, yang merupakan OKU fizikal berkata, dia tidak pernah menjadikan kekurangannya itu sebagai penghalang untuk mencapai impian dalam hidup.

“Saya tidak menjadikan status OKU ini sebagai alasan untuk tidak belajar dengan bersungguh-sungguh dan hari ini (semalam) saya berjaya membuktikan bahawa insan istimewa juga mampu berjaya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2018 di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aida Solehah yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah menghidap penyakit arthrogryposis multiplex congenita sejak lahir yang menyebabkan sendi dan ototnya menjadi kaku.

Kata anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia sering melakukan ulang kaji di rumah dengan membuat banyak latihan menggunakan soalan yang diberikan guru dan diperoleh di internet.

“Saya suka jawab soalan berulang kali dan akan pastikan semuanya betul sehingga dapat markah penuh,” ujarnya.

Selain itu, katanya, dia juga aktif dalam sukan renang dan pernah meraih pingat gangsa dalam Para Sukan Malaysia (Para Sukma) ke-19 Perak 2018 pada November tahun lalu.

“Alhamdulillah saya dapat bahagikan masa dengan baik antara pelajaran dan sukan dengan sokongan daripada ayah, Ahmad Fauzi Mohamad, 63, pesara guru dan ibu, Faridah Taib, 58,” katanya. 

Tambahnya, dia meminati bidang undang-undang dan mempunyai impian untuk menjadi seorang peguam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini