KUALA LUMPUR 14 Mac – Seorang anak membalas jasa kedua ibu bapanya dengan ‘menghadiahkan’ 8A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikeluarkan hari ini.
Murfiqah Hasya, 18, berkata, jasa dan pengorbanan bapa dan ibunya, Ghazali Abdullah, 46, dan Salasiah Ismail, 45, tidak dapat dibalas dengan wang ringgit tetapi hanya memberikan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
Tambahnya, dia bersyukur atas keputusan itu hasil daripada berkat doa ibu bapanya yang tidak pernah putus melihat dirinya cemerlang dalam pelajaran.
“Selepas ini saya akan meneruskan cita-cita menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan dan menjadikan Universiti Malaya (UM) sebagai universiti pilihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Rasmi dan Penyerahan Keputusan SPM 2018 di SMK Perempuan Bandaraya di sini hari ini.
Bagi Salasiah, hari ini merupakan anugerah terindah sempena ulang tahun perkahwinannya ke-20 dengan keputusan anaknya yang cemerlang.
“Saya berharap selepas ini dia akan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menjadi pendorong kepada adik-adik dan orang lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE











