KUALA LUMPUR 14 Mac – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masih menunggu laporan sama ada kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor turut memberi kesan kepada sektor pertanian di kawasan terlibat.
Menterinya, Datuk Salehuddin Ayub berkata, sekiranya ada sektor pertanian yang terjejas, tindakan cepat dan selanjutnya akan diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan.
“Setakat ini saya masih menunggu laporan daripada Jabatan Pertanian khususnya daripada exco pertanian Johor.
“Jika ada yang terjejas kita ambil tindakan cepat dan selanjutnya. Namun setakat ini tidak terima laporan lagi, yang terkesan adalah manusia. Oleh itu kita akan lihat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program Dialog Niaga Agrobank 2019 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan; Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan. – UTUSAN ONLINE











