PASIR GUDANG 14 Mac – Kerajaan negeri bersetuju untuk mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Aras 3, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Bilik Gerakan Bencana Negeri/Daerah bagi menangani pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini sejak Khamis lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani berkata, PKOB akan diaktifkan sebagai Bilik Gerakan Bencana Negeri bermula pada pukul 8 pagi ini.
“Tujuannya bagi memastikan penyelarasan dan mobilisasi aset dan anggota agensi-agensi pihak yang terlibat dapat dilaksanakan dengan segera.
“Kerjasama daripada semua pihak terlibat untuk mengambil tindakan berhubung perkara ini didahului dengan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih,” katanya dalam satu kenyataan di sini tengah malam tadi. – UTUSAN ONLINE











