KUALA LUMPUR 13 Mac – ‘Aku Tak Sempurna’. Itu judul single terbaharu yang akan dilancarkan pada 15 Mac ini oleh empunya nama, Adeep, 40.
Jejaka kelahiran Singapura itu kali ini memilih Hafiz Hamidun sebagai komposer, penulis lirik serta edaran single di bawah jenama Art Effect.
Adeep yang sudah lebih dua dekad bergelumang dalam industri hiburan yakin single terbaharunya itu mampu memuaskan hati pendengar.
“Peminat sudah tentu menginginkan kelainan dan saya hadiahkan judul ‘Aku Tak Sempurna’ yang berentak balada ini dan terpulang kepada pendengar untuk interpretasikan makna serta bait lirik tersebut, ” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Single berentak balada itu akan dimuat naik di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, YouTube dan akaun Facebook milik artis itu, malam esok -UTUSAN ONLINE











