KUALA LUMPUR 13 Mac – Jurulatih skuad kebangsaan bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak yakin kemampuan anak-anak buahnya untuk menempuhi kejohanan Piala Sanix 2019 yang akan bermula esok dan berakhir Ahad ini di Fukuoka, Jepun.
Ujarnya, kejohanan tersebut merupakan satu platform terbaik untuk pemain muda beraksi di peringkat antarabangsa, berbanding saingan Piala Belia kerana setiap perlawanan yang mereka hadapi di sana berintensiti tinggi.
“Selain itu juga, setiap perlawanan yang mereka hadapi di sini akan meningkatkan tahap keyakinan diri untuk memberikan aksi yang terbaik pada masa akan datang,” kata Hodak yang di temui media selepas latihan pasukan di Fukuoka.
Kejohanan tahunan yang mendapat tajaan Yakult Malaysia ini menyaksikan sebanyak 16 buah pasukan terbaik Jepun serta 4 buah negara jemputan mengambil bahagian yang terdiri dari Malaysia, Korea Selatan, China dan Nigeria.
Tahun ini merupakan tahun kedua skuad negara menyertai pertandingan itu selepas menyertainya tahun lalu.
Tambahnya, kejohanan ini tersebut penting sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan AFC Bawah 19 tahun (B-19) yang akan berlangsung di Vietnam, November ini.
“Untuk kejohanan tahun ini, seramai 8 orang pemain daripada Akademi Moktar Dahari (AMD) di Pahang bakal membarisi skuad negara di samping tiga orang pemain senior yang telah beraksi pada kejohanan yang sama tahun lepas,” ujar Hodak.
Sementara itu, kapten skuad B-18 negara, Firdaus Irman Mohd. Fadhil berjanji akan memberikan aksi yang terbaik untuk kejohanan pada kali ini selain menyifatkan perlawanan pertama esok menentang juara bertahan dari Sekolah Tinggi Aomori Yamada sebagai yang di tunggu-tunggu.
“Setakat ini semua pemain dalam keadaan yang baik dan dapat menyesuaikan diri dengan cuaca suhu sejuk di sini.
“Kombinasi pemain juga adalah baik kerana masing-masing dapat memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi latihan dan perlawanan persahabatan yang di adakan sebelum ini.
“Perlawanan pertama esok merupakan perlawanan yang penting untuk kami dan saya yakin kami mampu lakukan yang terbaik,” kata Firdaus.











