Peguam Negara miliki kuasa bebaskan dakwaan - Utusan Malaysia

Peguam Negara miliki kuasa bebaskan dakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kuasa untuk membebaskan dakwaan terhadap mana-mana individu dalam negara merupakan hak Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kuasa itu turut membenarkan Peguam Negara mengendalikan rayuan kerajaan Vietnam supaya membebaskan warganya, Doan Thi Huong atas tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Tegas beliau, berdasarkan kuasa tersebut adalah jelas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mencampuri sebarang keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara dalam mana-mana kes.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berhubung isu ini, kita perlu faham bahawa kerajaan menyerahkan kepada pihak Peguam Negara sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam Negara ada hak di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan atau memberhentikan apa-apa pertuduhan terhadap seorang tertuduh walaupun kes dalam prosiding di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini bagi mengulas rayuan kerajaan Vietnam supaya rakyatnya dilepaskan daripada tuduhan membunuh Jong-nam.

Rayuan itu dibuat susulan Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin melepas tanpa membebaskan warga Indonesia, Siti Aisyah daripada tuduhan yang sama.

Berdasarkan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, kuasa Peguam Negara merangkumi menghentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan di mahkamah. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini