KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali hadir ke tayangan perdana filem Raj of the East di Suria KLCC di sini malam ini.
Beliau yang tiba pada pukul 8.30 malam itu turut ditemani pengarah filem berkenaan, Tan Sri Adam Kadir.
Adam dalam ucapan ringkasnya memberitahu, filem tersebut menceritakan kisah pengaruh British di negara ini.
“Raj of the East merupakan sebuah filem semi biopik yang mengangkat sejarah kehidupan bekas Residen British Pahang, Sir Hugh Clifford yang datang ke Tanah Melayu pada 1883.
“Antara cabaran menghasilkan Raj of the East, kami perlu mengelakkan ciri-ciri moden bagi menyesuaikan dengan jalan cerita yang berlatarkan Tanah Melayu pada era 1900,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, Raj of the East telah ditayangkan di Teater Laemmle, Los Angeles, California, Amerika Syarikat selama tujuh hari berturut-turut dari 7 hingga 13 Disember 2018.
“Dengan itu, filem ini layak untuk dicalonkan ke Anugerah Oscar dengan lengkap, kerana ia bukan filem bahasa asing.
“Saya juga dimaklumkan, seramai 1,000 peserta daripada Oscar Academy telah mengundi filem ini untuk dicalonkan bagi semua kategori,” ujarnya.
Filem tersebut turut dibintangi barisan pelakon seperti Datuk Rahim Razali, Datuk Yasmin Yusoff, Rashidi Ishak serta Adeline Tsen. – K! ONLINE











