LABIS 12 Mac – Keunikan bentuk fizikal serta sifat ayam serama yang jinak dan dilihat ‘pandai bergaya’ menarik perhatian ramai untuk menjadikannya sebagai haiwan ternakan hiasan.
Malah, rata-rata peminat ayam serama dikatakan bersedia menjelajah ke seluruh negara semata-mata untuk menyertai pertandingan yang diadakan. Mereka ini sanggup membelanjakan wang sehingga mencecah RM25,000 hanya kerana mahu mendapatkan seekor ayam terbaik yang selalu memenangi pertandingan.
Sebagai bukti, Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama di Chaah baru-baru ini turut disertai peminat ayam serama dari seluruh negara termasuk Kelantan, Terengganu dan dari luar

negara iaitu Myanmar.
Pengerusi Pertandingan, Ahmad Rahidi Mohd. Lazim, 46, berkata, lebih 150 ayam serama dari seluruh negara menyertai pertandingan tersebut yang dibahagikan kepada lapan kategori pada pertandingan yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu.
“Kategori yang dipertandingkan adalah Serama A, Serama B, Serama Muda, Serama Remaja, Serama Tanpa Lawi, Serama Induk, Serama Anak A dan Serama Anak B.
“Pemarkahan akan diambil kira daripada gaya, bentuk ekor, tubuh, sayap, kepala, balung, warna bulu serta kaki mengikut peratusan yang ditetapkan,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Serama Johor Cawangan Chaah kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Pihaknya bercadang menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan bagi memberi peluang peminat ayam serama mempamerkan ayam peliharaan mereka selain berkongsi ilmu dengan peminat ayam serama yang lebih berpengalaman dari luar.

Mohd. Yahya Mohd. Ayub, 27, peminat ayam serama dari Myanmar yang pernah menuntut di negara ini pada 2009 mengakui pernah membeli ayam serama pada harga RM4,000 seekor.
Namun katanya, wang yang dibelanjakan untuk membeli ayam itu berbaloi kerana telah berjaya
memenangi pelbagai pertandingan yang diadakan di seluruh Malaysia.
Ketika ini katanya, dia memiliki lebih 100 ekor ayam serama termasuk yang dibiakkan sendiri.
“Sebenarnya saya mula serius dalam memelihara ayam serama ini sejak lima tahun lalu selepas tertarik dengan sifat dan kecantikan haiwan hiasan ini ketika menuntut di sebuah kolej di negara ini.
“Bagi mereka yang tidak faham mungkin beranggapan minat ini membazir kerana adakalanya memerlukan belanja besar, namun jika kena pada gayanya hobi ini boleh menjadi sumber pendapatan sampingan yang lumayan,” katanya.











