MELAKA – Seorang lelaki warga emas ditemui mati di dalam tandas di terminal bas Melaka Sentral di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mayat Siew See Hoy, 80, yang bekerja sebagai penghantar tepung kepada peniaga restoran di terminal itu ditemui dalam keadaan terlentang dan berdarah di kepala oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 11.30 pagi daripada anggota polis bantuan di Melaka Sentral.
“Si mati ditemui tidak sedarkan diri oleh kakitangan pegawai perubatan yang bertindak memecahkan pintu tandas tersebut selepas mangsa dilaporkan berada di dalam terlalu lama.
“Insiden itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis dan pemeriksaan lanjut mendapati warga emas berkenaan telah pun meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, semua barangan peribadi mangsa termasuk dompet serta telefon bimbit turut dijumpai pada mangsa.
Katanya, mayat warga emas itu telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











