KUALA LUMPUR 12 Mac – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Persiaran Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor pada Sabtu ini.
Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, CCTV akan dipasang di kawasan berkenaan bagi tujuan pemantauan dan untuk mencegah penduduk menjadikan kawasan itu tempah pembuangan sampah.
“Selain pemasangan CCTV, MPSJ juga akan memasang kawat dawai (berduri) serta meletakkan bongkah batu dan menanam pokok di sepanjang bahu jalan dalam tempoh terdekat bagi memastikan masalah itu tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia hari ini mendedahkan laporan pembuangan sampah di kawasan berkenaan yang dipercayai berlarutan sejak tujuh tahun lalu.
Azfarizal berkata, MPSJ memandang serius masalah itu dan telah mengambil tindakan pembersihan secara berperingkat.
“Sejak 2 Februari hingga semalam, sebanyak sembilan kali kerja-kerja pembersihan telah dilakukan di lokasi tersebut,” katanya.
Tambahnya, maklumat boleh disalurkan kepada MPSJ sekiranya aktiviti pembuangan sampah masih berterusan. – UTUSAN ONLINE











