NIBONG TEBAL 12 Mac – Polis akan menyiasat dakwaan salah seorang tertuduh juvana dalam kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan yang dikatakan dicabul tahanan lain.
Ketua Polis negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perkara berkenaan tidak sewajarnya berlaku dan pihak polis akan menyiasat dakwaan itu.
“Saya tidak mahu beri komen lanjut kerana saya belum dimaklumkan berhubung perkara ini.
“Saya difahamkan pusat tahanan ini berada di bawah kawasan (Polis Kontinjen) Kuala Lumpur, jadi saya akan berhubung dengan Ketua Polis Kuala Lumpur untuk dia ambil perhatian berhubung perkara yang didakwa ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.
Mohamad Fuzi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang memaklumkan anak guamnya iaitu remaja berusia 16 tahun dalam kes bunuh itu telah diserang secara fizikal dan seksual di dalam tahanan. – UTUSAN ONLINE











