TANJUNG MALIM 12 Mac – Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang menjadi politeknik terbaharu yang mengaplikasikan transaksi pembayaran tanpa tunai selepas empat buat politeknik menggunakan sistem sama sebelum ini.
Pengarah PSAS, Dr. Naimah Md. Khalil berkata, kaedah itu sebelum ini dirintis oleh Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Shah Alam, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Pasir Gudang, Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh dan Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) Jitra.
Katanya, konsep pembayaran tanpa tunai itu dilaksanakan seiring dengan perkembangan teknologi dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar selain pilihan untuk urusan jual beli.
“Sebelum ini, jika mahu mengeluarkan wang pelajar perlu ke mesin juruwang automatik (ATM) tetapi dengan transaksi tanpa tunai ini, mereka boleh membuat pembayaran terus sekaligus mengurangkan transaksi fizikal.
“Inisiatif ini dilakukan secara berperingkat dan untuk permulaan ia membabitkan pembelian di koperasi sebelum diperluaskan untuk urusan pembelian dan pembayaran lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Politeknik ke Arah Cashless sempena Karnival Sains dan Teknologi 2019 (KaSTek’19) Peringkat Kebangsaan di Dewan Muallim PSAS di sini hari ini.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari.-UTUSAN ONLINE











