KUALA LUMPUR 12 Mac – Seorang penagih tegar dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menagih dadah jenis methamphetamine dan morfin Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Lai Chee Ming, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Ini merupakan kesalahan kali keempat yang dilakukan oleh lelaki berkenaan.
Pengangur berkenaan didakwa telah memasukkan dadah-dadah tersebut ke dalam badannya di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 8.20 malam, 24 Oktober 2018.
Pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan tidak melebihi tiga kali.
Terdahulu, Siti Aisyah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kesalahan berkenaan adalah kali keempat dilakukan lelaki berkenaan.
Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan atas faktor usianya dan tidak bekerja. – UTUSAN ONLINE











