ALOR SETAR 12 Mac – Gara-gara tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, seorang lelaki Myanmar yang dipercayai turut bekerja di sebuah premis di Sungai Petani, dekat sini cuba meloloskan diri ketika diserbu Jabatan Imigresen.
Dalam operasi kira-kira pukul 9 pagi itu, lelaki terbabit hanya sempat menyembunyikan diri buat sementara waktu, sebelum dua pegawai Imigresen yang membuat rondaan berjaya mencekupnya semula.
Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, warga asing berusia 20-an itu pada mulanya sedang leka bekerja sebelum menyedari kehadiran pihaknya yang mahu memeriksa dokumen pekerja.
“Lelaki warga asing yang berjaya meloloskan diri itu dapat ditahan ketika sedang melintas jalan di lokasi berhampiran dan semasa tangkapan dibuat berlaku sedikit pergelutan antara pegawai dan warga asing tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Zuhair, operasi yang dinamakan Op Jaja itu disertai 14 pegawai yang memeriksa 47 orang warga asing terdiri daripada pelbagai negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 10 orang telah ditahan melibatkan lima lelaki Bangladesh, dua lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia serta lelaki Myanmar terbabit.
“Mereka dipercayai bekerja di premis-premis terbabit sebagai pembantu kedai aksesori motosikal, kedai runcit, kedai gunting rambut dan juga menjual ikan secara tidak sah,” ujarnya.
Kata beliau, kesemua mereka berumur antara 20 hingga 40 tahun kini ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Depot Imigresen Belantik, Sik.
“Siasatan awal mendapati mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memilki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











