ALOR SETAR 12 Mac – Laporan polis yang dibuat terhadap Dr. S. Streram oleh seorang ahli Parlimen PKR atas dakwaan gagal membayar balik satu hutang persendirian, menunjukkan bukti penolakan ahli parti itu di atas pencalonan beliau sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu sekali gus mengesahkan desas-desus penolakan Streram sebelum ini di peringkat cabang dan luaran parti tersebut sejak awal lagi.
Kata beliau, malah pengumuman tersebut disambut sepi dari kem PKR mahupun Pakatan Harapan (PH).
“Segala apa yang berlaku ini menunjukkan petanda awal kekalutan PKR dalam isu pemilihan calon bertanding di kawasan tersebut (DUN Rantau).
“Di pihak pembangkang, Barisan Nasional (BN) telah menampilkan calon penyandang yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik iaitu Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bukan sahaja di DUN Rantau tetapi juga Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jamil Khir seterusnya menyifatkan bahawa ‘pertarungan’ di DUN Rantau penting kerana merupakan maruah pembangkang yang harus dipertahankan oleh BN yang kini menjalin kerjasama secara rasmi dengan Pas.
“Ia juga bakal menunjukkan medan untuk menguji sokongan rakyat terhadap BN dan Pas serta Mohamad sendiri,” katanya.
Semalam, Streram yang juga Penyelaras DUN PKR Rantau diumumkan sebagai calon PH bagi PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum itu, satu mesej tular dalam laman media sosial mendakwa seorang ahli Parlimen membuat laporan polis terhadap Streram atas dakwaan gagal membayar balik hutang yang dipinjam bagi tujuan pembelajaran anaknya.
Streram kemudian mendakwa beliau telah difitnah atas tuduhan tersebut yang sengaja dilemparkan oleh segelintir individu dalam PKR sendiri untuk merosakkan imejnya.
Menurut laporan Malaysiakini yang memetik Streram sebagai berkata, beliau telah selesai membayar hutang itu sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE











