KUALA LUMPUR 11 Mac – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa tidak menolak kemungkinan Fabio Maciel akan kembali menyertai Kuala Lumpur bagi menggantikan Yusri Che Lah.
Yusri melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih The City Boys berkuatkuasa, hari ini, setelah gagal membantu pasukannya mengutip sebarang mata dalam aksi Liga Super selepas lima perlawanan menyebabkan Kuala Lumpur berada di tangga tercorot liga.
Nokman berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan bersama Maciel merangkumi segala aspek dan hanya menunggu persetujuan melibatkan bayaran gaji daripada kedua-dua pihak.

“Sebaik sahaja Kuala Lumpur tumpas 2-3 kepada Selangor di laman sendiri, semalam, KLFA menerima lima permohonan daripada jurulatih dalam dan luar negara. Dua daripadanya jurulatih tempatan. Benar, kami telah mengadakan rundingan bersama Fabio dan kini sedang menunggu persetujuan berkenaan gaji,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Maciel pernah membimbing Kuala Lumpur pada 2017 sebelum direhatkan KLFA, September lalu, dan sepanjang tempoh itu, dia berjaya membantu The City Boys menjuarai Liga Perdana. Nokman berkata, KLFA tidak akan berbelanja besar bagi mendapatkan jurulatih baharu atas faktor kewangan dan buat sementara waktu, pembantu jurulatih, Chong Yee Fatt akan menggantikan Yusri.
Sementara itu, Yusri berkata, keputusannya untuk melepaskan jawatan dilakukan atas kemahuan sendiri, bukan desakan daripada mana-mana pihak.
“Terima kasih kepada KLFA. Pemain telah berusaha, tetapi, kemenangan belum menyebelahi kami. Keputusan ini diambil bukan disebabkan desakan penyokong tetapi keprihatinan saya kepada majikan,” katanya.











