Polis terima laporan video simbah asid Mujahid - Utusan Malaysia

Polis terima laporan video simbah asid Mujahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Mac – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini membuat laporan polis berhubung satu video berunsur ugutan mahu menyimbah asid terhadap Menterinya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Laporan polis itu dibuat oleh Mohd. Fikri Abdul Rahman, wakil daripada pejabat menteri bersama seorang lagi pegawai di Ibu pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sahkan ada terima laporan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu ugutan jenayah,” katanya.

Video berdurasi dua minit 39 saat itu dimuat naik di media sosial oleh pengguna akaun Facebook, Otai Daulat 812 pada Rabu lalu.

Menurut Mohd. Fikri, video itu memaparkan satu sesi perbincangan antara empat individu yang antara lainnya menjadikan Mujahid sebagai topik perbincangan yang diakhiri dengan seruan supaya menteri itu disimbah asid.

“Seruan ini adalah sangat merbahaya kerana ia menganjurkan suatu perbuatan jenayah serius yang boleh mendatangkan kecederaan malah boleh membawa maut, malah video itu sendiri mengandungi berita tidak benar dan fitnah selain ancaman serius kepada menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Fikri mendesak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak tegas mengekang fitnah dan perbuatan hasutan yang berleluasa di media sosial.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini