TERKESIMA sesiapa sahaja melihat seorang wanita berusia 53 tahun ini yang wajahnya tidak dimamah usia. Wanita yang dikenali sebagai Puspa Dewi menjadi perhatian ramai di media sosial kerana memiliki wajah awet muda persis anak dara. Malah begitu remaja berbanding usianya yang sebenar.
Ibu anak dua itu turut berkongsi perbezaan wajahnya bersama suami ketika masih sepasang kekasih pada Ogos 1993 dan gambar terkini sudah memiliki cucu pada Ogos 2020, menguatkan lagi kesahihan gambar tanpa suntingan. Ternyata ia tidak banyak beza.
Puspa yang berasal dari Indonesia itu sudah mempunyai cucu dan kini berstatus nenek turut berkongsi perbandingan gambar menunjukkan dirinya yang melakukan aktiviti senaman aerobik pada usia 35 dan 53 tahun, juga tampak sama sahaja.

Melalui kapsyen yang dikongsi di laman Instagram miliknya, dia berkata bahagia memiliki keluarga yang baik dan saling menyayangi selain mensyukuri pemberian Tuhan, berfikiran positif dan bersemangat dalam melakukan apa jua aktiviti adalah rahsia kekal muda.
Selain itu, Puspa turut melakukan beberapa petua lain yang diamalkan sejak muda iaitu gemar bersenam, minum air putih yang banyak, makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta rajin merawat kulit wajah serta pengambilan suplemen.
Bagaimanapun, dia menafikan melakukan perubahan atau pembedahan kerana kecantikan yang dimiliki adalah semula jadi.
Ramai yang kagum dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi apabila melihat wajah dan kulitnya yang tidak berkedut malah tampak anjal walaupun sudah mencecah separuh abad itu.
PELAMIN ANGANKU MUSNAH
DISANGKA panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah perumpamaan bagi mereka yang sudah berjanji sehidup semati, tetapi tidak jadi pula ke jinjang pelamin. Akibatnya, meranalah tuan badan.
Begitulah nasib yang menimpa wanita dari Singapura ini. Dia terpaksa menerima kenyataan pahit majlis pernikahan yang sepatutnya dilangsungkan dengan pasangannya, duda anak dua pada Oktober lalu dibatalkan oleh bakal suami, tiga minggu sebelum majlis berlangsung.
Wanita yang dikenali sebagai Shasha Ali, 37, berkongsi pengalaman melalui satu video di aplikasi jodoh berkata, dia benar-benar terkejut apabila diberitahu pernikahan dibatalkan sedangkan segala persiapan termasuk pakaian nikah, makanan, jemputan tetamu dan lain-lain telah siap sepenuhnya.

Akui berdepan dengan beberapa konflik sebelum menjelang tarikh pernikahan, namun dia tidak menduga, tiada perkhabaran langsung daripada bakal suami mahupun ahli keluarga lelaki itu. Berikutan itu, dia terpaksa menebalkan muka untuk membatalkan semua persiapan kahwin.
Katanya, walaupun pernikahan mereka dibatalkan tanpa sebarang penjelasan, dia tetap positif berdepan hari-hari mendatang kerana mendapat sokongan keluarga tercinta dan rakan-rakan yang ada bersamanya.
Bagaimanapun, dia tetap memilih untuk mengadakan penggambaran seorang diri dengan mengenakan busana pengantin, solekan, ukiran inai tangan dan cincin seperti yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
CANTIK TAPI MILIKI CIRI MASKULIN
WANITA yang memiliki paras rupa bercirikan maskulin sudah pasti kelihatan lain daripada lain dan dianggap unik. Namun ada di antara mereka yang berasa tidak yakin jika mempunyai air muka seakan-akan lelaki kerana dipandang serong dan diejek oleh sesetengah pihak.
Kisah gadis yang dikenali sebagai Sha tular di media sosial terutama aplikasi TikTok kerana sering dipersoal untuk mendapatkan identiti dirinya yang sebenar. Sebabnya, dia memiliki tulang pipi agak menonjol dan kening yang tajam menyebabkan wajahnya disamakan dengan lelaki.
Sha yang berdarah kacukan Pakistan bertegas dan meminta orang ramai supaya tidak mempertikaikan wajahnya yang dikurniakan oleh Allah SWT.
“Berhenti bertanyakan jika saya seorang lelaki. Lelaki tidak memakai tudung. Allah telah mencipta saya sebegini, jangan tanya saya lagi,” tulisnya di kapsyen akaun TikTok miliknya, @shamonster07.

Video yang dimuat naik pada 1 Disember lalu telah mendapat sebanyak 161,400 tontonan dengan 7,620 tanda suka dan 470 komen daripada netizen.
Sebelum ini, Sha tidak memakai tudung dan wajahnya saling tidak tumpah seperti lelaki namun sejak berubah, dia kelihatan lebih cantik dan ayu. Malah rata-rata netizen memuji kecantikan unik dimilikinya serta memberi kata-kata semangat supaya mengabaikan mereka yang mengutuk agar dia menghargai ciptaan-Nya.










