Selamatkah Boeing 737 MAX 8? - Utusan Malaysia

Selamatkah Boeing 737 MAX 8?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADDIS ABABA 11 Mac – Nahas pesawat Ethiopian Airlines, ET302, merekod­kan tragedi kedua melibatkan penggunaan kapal terbang baharu keluaran Boeing dalam tempoh lima bulan sele­pas insiden Lion Air yang terhempas di Indonesia pada Oktober tahun lalu.

Berulangnya tragedi itu me­nimbulkan persoalan banyak pi­­hak, apakah pesawat tersebut masih selamat digunakan? Dan tak kurang yang mempersoalkan mengapa pesawat baharu boleh berdepan dengan masalah sehingga mencetuskan tragedi.

Susulan itu, Ethiopian Airli­nes bertindak menggantung ope­­rasi semua pesawat Boeing 737 MAX 8 yang dimilikinya sebagai langkah keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan AP, juruca­kap syarikat penerbangan, As­rat Begashaw berkata, walaupun punca nahas masih belum dike­ta­hui, syarikat memutuskan untuk menggantung operasi baki empat pesawat 737 MAX 8 sehingga notis selanjutnya.

CHINA, INDONESIA, Jerman GANTUNG OPERASI MAX 8

China yang dilihat pasaran pen­ting Boeing juga mengarah­kan semua syarikat penerba­ngannya supaya mengambil lang­kah yang sama diikuti Jerman dan Indonesia selain syarikat penerba­ngan Caribbean, Cayman Airways menggantung sementara operasi dua pesawat.

Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) menerusi satu kenyataan menyatakan pihaknya akan memaklumkan mengenai bila operasi akan di­sambung semula selepas meng­hubungi Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

BBC melaporkan, pesawat yang digunakan oleh Ethiopian Airlines adalah Boeing 737 MAX 8 iaitu model sama yang digunakan oleh Lion Air, JT610, dan model itu mula memasuki pasaran komersial pada 2017.

Dalam insiden terdahulu, pesawat Lion Air terhempas beberapa minit sejurus berlepas dari Jakarta menyebabkan ke­se­mua 189 penumpangnya ter­bunuh dan pe­sawat itu berusia kurang tiga bulan.

Pesawat Ethiopian Airlines penerbangan ET302 juga meng­alami kejadian yang sama iaitu terhempas selepas beberapa mi­nit berlepas dan mengorbankan ke­semua 157 penumpang terma­suk anak kapal.

KOMENTAR PENGANALISIS

Penganalisis penerbangan yang berpangkalan di Jakarta, Gerry Soejatman berkata, kapasiti enjin model pesawat 737 MAX 8 adalah lebih canggih dengan kedudukan kedua-dua sayapnya lebih tinggi berban-ding model sebelum ini.

Jelasnya, fungsi itu menjadikan model pesawat tersebut le­bih stabil apabila di udara.

Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia juga mendedahkan pesawat Lion Air penerbangan JT610 mengalami ‘masalah input’ daripada satu alat pengesannya yang direka untuk memberi amaran kepada juruterbang jika pesawat berkenaan berisiko pegun (stalling).

Namun, siasatan dan punca nahas pesawat tersebut masih belum dimuktamadkan.

Seorang lagi penganalisis pe­nerbangan, John Strickland pula berpandangan persoalan utama yang membelenggu Boeing ketika ini adalah pesawat yang terlibat dalam kedua-dua nahas tersebut membabitkan model paling baharu.

Menerusi satu kenyataan semalam, Boeing memaklumkan pasukan teknikalnya bersedia untuk memberi bantuan di ba­wah arahan dan permintaan Lembaga Keselamatan Pengang­kutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS).

Syarikat itu juga menzahirkan ucapan takziah kepada se­mua keluarga mangsa yang terlibat dan akan terus menyokong Ethiopian Airlines.

KOTAK HITAM DITEMUKAN

Dalam perkembangan sama, pasukan penyelamat menemukan kotak hitam dan perakam suara kokpit pesawat tersebut di lokasi kejadian yang terletak di pekan Bishoftu, kira-kira 45 kilometer dari Addis Ababa.

Kesan nahas menyaksikan satu lubang besar terbentuk de­ngan diameter berukuran 50 meter, selain serpihan pesawat bertaburan dalam ka­wasan seluas 10,000 meter persegi.

Beberapa jentera berat turut digunakan untuk membantu kerja-kerja mengangkat serpihan bangkai termasuk bahagian sayap dan enjin pesawat.

Selain itu, Agensi Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia menyatakan kesudian untuk membantu Ethiopian Airlines melakukan siasatan su­sulan insiden tersebut serupa dengan tragedi Lion Air, JT610.

Pengerusinya, Soerjanto Tjahjono berkata, cadangan bantuan itu juga dilakukan berikutan ada rakyat Indonesia yang menjadi mangsa nahas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini