Kereta sapu pendatang - Utusan Malaysia

Kereta sapu pendatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 11 Mac – Membeli kenderaan yang mempunyai masalah bayaran ansuran bulanan dengan harga sekitar RM2,000 sehingga RM3,000 sebuah daripada pihak ketiga untuk dijadikan kereta sapu, iaitu teksi tanpa permit bagi membawa buruh binaan warga asing ke sekitar bandar Sungai Rengit.

Itu modus operandi kegiatan kereta sapu yang diuruskan seorang rakyat tempatan dengan menjadikan warga asing sebagai pemandu.

Bagaimanapun kegiatan me­reka terbongkar apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 11 pemandu warga asing dari Nepal dan Bangladesh bersama-sama 11 buah kereta dalam satu operasi khas di sekitar bandar Sungai Rengit berhampiran Pengerang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah JPJ negeri, Razali Wagiman berkata, 11 kereta yang dirampas dalam serbuan pukul 12.45 tengah hari itu terdiri daripada Proton Wira, Waja, Saga dan Iswara.

“Modus operasi kegiatan ini ialah dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada warga asing dari kawasan pembinaan ke sekitar bandar Sungai Rengit. Harga tambang dibayar secara bulanan.

“Serbuan dilakukan selepas JPJ menerima aduan daripada orang awam termasuk pemandu teksi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat JPJ negeri di sini hari ini.

Difahamkan, warga asing membayar harga sekitar RM150 sehingga RM200 secara bulanan bagi perkhidmatan yang ditawarkan itu.

Menurut Razali, susulan itu, JPJ turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 60 tahun yang dipercayai menjadi pengurus kepada kegiatan itu.

Ujarnya, pengurus serta 11 warga asing terbabit kemudiannya diambil keterangan sebelum 22 saman dikeluarkan kepada mereka serta pemilik asal kereta terbabit.

“Tindakan saman di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu tiada lesen memandu dan Seksyen 23(2) akta sama kerana menyalah gunakan lesen kenderaan bermotor.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemilik dan pemandu boleh didenda RM­300 sehingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali. Kese­mua kereta disita sehingga kes selesai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini