KUALA LUMPUR 11 Mac – Setiausaha Agung Kelab Bolasepak PKNS (PKNS FC), Md. Adi Harmizi Ariffin mengakui, pihak pengurusan mereka tampil lebih bersedia dalam soal peraturan khususnya membabitkan pendaftaran pasukan sebelum sepak mula Liga Malaysia musim ini.
Lebih tepat, pengalaman lalu telah banyak mengajar PKNS FC di mana Adi optimis mereka kini berada dalam landasan terbaik untuk menjadi kelab yang lebih baik dan meningkat pada masa akan datang.
Tahun lalu, PKNS FC antara salah satu daripada 10 pasukan di mana empat daripadanya adalah pasukan yang bertanding di Liga Super, manakala enam pasukan yang lain adalah daripada saingan Liga Perdana, dikenakan denda ekoran kegagalan melengkapkan pendaftaran masing-masing pada tarikh yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Pada awalnya PKNS didenda sebanyak RM1.5 juta di atas kesalahan tersebut tetapi selepas mengemukakan rayuan, MFL telah mengurangkan jumlah denda tersebut kepada RM500,000.
Musim ini PKNS tampil positif bukan sahaja prestasi di atas padang tetapi pihak pengurusan mereka bertambah menjadi semakin baik di mana mereka memandang serius dalam setiap peraturan yang ditetapkan oleh MFL.
Mengulas lanjut, Adi mengakui hukuman yang dikenakan pada musim lalu itu telah memastikan PKNS sentiasa dalam keadaan lebih bersedia dan tersusun di mana pihak pengurusan kelab Semut Merah itu sentiasa berusaha keras meningkatkan profesionalisme.
“Manusia tidak terlepas melakukan kesilapan tetapi kesilapan tahun lalu telah banyak memberikan pengajaran berguna kepada PKNS. Tahun lalu kami dikenakan denda (RM500,000) kerana kegagalan melengkapkan pendaftaran pasukan.
“Saya tidak berminat untuk buka kembali cerita lama tersebut tetapi musim ini kami telah bersedia untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MFL khususnya membabitkan pendaftaran pasukan.
“Musim ini PKNS telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menjaga, menilai dan kemaskini setiap dokumen bagi pendaftaran pasukan di mana tugas mereka memastikan PKNS sentiasa mematuhi peraturan dan tidak melanggar tarikh akhir yang ditetapkan oleh MFL.
“Malah, kami juga mengemukakan surat rasmi kepada MFL supaya periksa kali kedua biarpun PKNS telah menyerahkan segala dokumen ditetapkan sebelum tarikh tutup pendaftaran pasukan menunjukkan bahawa PKNS serius dalam isu peraturan khususnya membabitkan pendaftaran pasukan.
“Jadi, saya gembira inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat melicinkan proses pendaftaran pasukan atau lebih tepat PKNS mematuhi peraturan seperti yang ditetapkan MFL dan sudah pasti PKNS sentiasa berada dalam landasan profesionalisme untuk menjadi kelab lebih baik dalam masa akan datang,” katanya.
Sebagai rekod, empat pasukan Liga Super yang didenda pada musim lalu itu adalah PKNS FC, Selangor, Kuala Lumpur dan juga Kelantan dikehendaki membayar RM1.5 juta tetapi dikurangkan kepada RM500,000.- UTUSAN ONLINE











