TANJUNG MALIM 11 Mac – Hujan lebat dan angin kencang selama lebih setengah jam menyebabkan bumbung dan siling tiga blok asrama pelajar di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang di sini, rosak teruk hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu turut mengakibatkan kerosakan kuaters kakitangan, bangunan jabatan dan kelas selain beberapa khemah jualan untuk Karnival Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan 2019, esok.
Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan wanita cedera di kepala setelah dihempap siling dan dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Yusli Abd. Latif berkata, pihaknya ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung bencana itu.
Katanya, tiga buah blok asrama pelajar terjejas teruk iaitu di aras paling atas di tingkat empat apabila bumbung dan siling bangunan itu diterbangkan ribut dan angin kencang.
“Ketika kejadian kebanyakan pelajar ada di bilik masing-masing namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.
Seorang pengawal keselamatan wanita yang berada di sekitar blok asrama itu bagaimanapun cedera dihempap siling.
“Tiga buah blok yang terjejas ini telah ditutup dengan lebih 100 pelajar yang tinggal di aras empat telah dipindahkan keluar. Setakat ini kita telah memasang sawar-sawar di blok berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, kejadian itu juga menyebabkan lebih 20 batang pokok tumbang dan dilaporkan membabitkan dua buah kenderaan milik pensyarah setakat ini.
“Operasi sedang dijalankan dan kita memantau keseluruhan kawasan di politeknik ini. Setakat ini hanya seorang dilaporkan cedera,” katanya. – UTUSAN ONLINE











