NARATHIWAT 11 Mac – Pasukan Keselamatan Thailand mengesahkan bahawa pihak yang mendalangi siri pengeboman di wilayah Satun dan Phatthalung pada Sabtu dan semalam adalah daripada kumpulan yang sama.
Jurucakap Tentera Bahagian Ke-4, Kolonel Pramoth Prom-in berkata, kumpulan berkenaan telah merancang serangan itu secara rapi sebelum bertindak.
“Pihak Keselamatan masih mencari bukti sama ada kumpulan ini mempunyai kaitan dengan kumpulan yang aktif di tiga wilayah bergolak di selatan Thailad,” katanya.
Beliau menambah, pihak keselamatn tidak menolak kemungkinan faktor politik, penguatkuasaan membasmi dadah dan pemerdagangan manusia menjadi punca siri letupan di Wilayah Phatthalung dan Satun di selatan Thailand.
Sekurang-kurangnya 10 letupan dilaporkan di wilayah bergolak di Phatthalung dan Satun di selatan Thailand dalam tempoh antara Sabtu malam dan pagi semalam.
Tiada kematian dilaporkan, namun siri pengeboman itu mengakibatkan kerosakan kepada beberapa bangunan dan kenderaan. – BERNAMA











