ADDIS ABABA 11 Mac – Ethiopian Airlines, dengan sebuah pesawatnya terhempas sejurus berlepas dari Addis Ababa semalam, telah berkembang menjadi syarikat penerbangan terbesar di Afrika menggunakan pesawat moden untuk melayani destinasi ke seluruh dunia.
Ditubuhkan pada 1945, dalam beberapa tahun kebelakangan ini berkembang menjadi pesaing utama kepada South African Airways dan Kenya Airways, kedua-duanya berdepan kerugian ketika Ethiopian Airlines meneruskan tempahan pesawat dan membuka laluan baharu.
Syarikat penerbangan nasional Ethiopia itu terbang di 199 destinasi antarabangsa dengan lebih 110 buah pesawat dan berpangkalan di Addis Ababa, termasuk pesawat ultra-moden Airbus A350 dan Boeing 787 Dreamliner.
Selain melayani hab global seperti Beijing, Paris, London dan Washington, Ethiopian Airlines terbang ke bandar-bandar Afrika yang lebih kecil dengan beberapa sambungan antarabangsa seperti Enugu di Nigeria; Nosy Be di Madagascar dan Mbuji-Mayi; dan Lubumbashi di Congo.
Strategi itu membuahkan hasil dengan pendapatan mencecah AS$2.7 bilion (RM11.04 bilion) pada 2017-2018 dan Addis Ababa mengatasi Dubai tahun lepas sebagai lapangan terbang utama bagi ketibaan penumpang di sub-Sahara Afrika.
Lapangan terbang Addis Ababa baru-baru ini menjalani pembaharuan berskala besar untuk menjadi hab transit utama, dengan pembukaan sayap terminal bernilai AS$345 juta (RM1.4 bilion) pada awal tahun ini.
Dengan sekitar 65 pesawat atas pesanan dan laluan baharu yang diumumkan secara kerap, Ethiopian Airlines telah mengembangkan matlamatnya.
Nahas melibatkan penerbangan ET302 semalam yang mengorbankan 157 penumpang dan anak kapal beberapa minit selepas berlepas menuju ke Nairobi, adalah ‘sesuatu yang sukar’ bagi syarikat penerbangan itu.
Sebagai tindak balas, syarikat penerbangan itu menggantung operasi kesemua enam pesawat Boeing 737 MAX 8.
Boeing berdepan persoalan mengenai 737 MAX 8 sejak Oktober lepas apabila model sama yang dikendalikan Lion Air terhempas di Indonesia, mengorbankan semua 189 orang.
Kejadian semalam adalah nahas pertama bagi Ethiopian Airlines sejak Februari 2010 apabila 90 terbunuh selepas penerbangan ke Addis Ababa dari Beirut terhempas di perairan Lebanon.
Syarikat penerbangan itu berdepan dengan sedikit insiden keselamatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2014, pembantu juruterbang Ethiopian Airlines merampas pesawat dan memaksanya mendarat di Geneva bagi membolehkannya menuntut suaka.
Pada 2015, tiga krew pesawat kargo Ethiopia cedera apabila pesawat itu tergelincir ketika mendarat di Accra, Ghana. – AFP











