PUTRAJAYA – Celcom Axiata Berhad (Celcom) menjelaskan apa-apa perkara yang timbul daripada memo mengenai penutupan pusat internet adalah tidak benar kerana ditulis tanpa pengetahuan atau kebenaran syarikat telekomunikasi berkenaan.
Celcom dalam satu kenyataan berkata, syarikat telekomunikasi itu akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor berkenaan.
“Celcom tegas dalam komitmen kami untuk menyokong aspirasi kerajaan dalam melaksanakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NCFP) dan menyokong pusat internet di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan dakwaan Nusuara Technologies Sdn. Bhd. yang memberi gambaran bahawa pusat internet di seluruh negara akan ditutup.
Suruhanjaya itu dalam kenyataannya menegaskan, dakwaan yang dibuat oleh pengendali utama pusat internet naungan Celcom itu adalah satu tindakan yang cuai.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, Celcom kini giat merancang pelbagai inisiatif termasuk menambah baik dan memperluas peranan pusat internet pada masa hadapan.
Menurutnya, Celcom menjadi penyumbang utama pembangunan infrastruktur telekomunikasi negara selama 31 tahun dan akan terus bekerjasama dengan inisiatif digital kerajaan untuk negara.
“Celcom menekankan komitmen berterusan dalam memberikan peluang yang sama kepada perkhidmatan digital untuk komuniti yang kurang mendapat perhatian terutamanya melalui pusat internet sejajar dengan aspirasi SKMM,” jelasnya.
Sehingga hari ini, Celcom mengendalikan sebanyak 175 pusat internet di seluruh negara dengan tumpuan kepada komuniti di kawasan luar bandar dan miskin bandar yang menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi, kursus dan latihan ICT serta e-dagang. – K! ONLINE











