KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak dari 23 hingga 30 Mac ini kekal berlangsung dengan enam pasukan selepas Poland bersetuju untuk menggantikan tempat Afrika Selatan.
Timbalan Presiden MHC, Profesor Datuk Dr. S. Shamala berkata, pihaknya gembira dengan keputusan pasukan ranking ke-21 dunia itu bersetuju untuk menggantikan tempat Afrika Selatan yang menarik diri ekoran faktor kekangan kewangan.
“Poland sudah menghantar surat petang tadi bahawa mereka bersetuju untuk mengambil bahagian. Ini menyaksikan tiada perubahan akan berlaku terutama dari segi pertukaran jadual perlawanan secara keseluruhan.
“Ia juga akan membolehkan skuad kebangsaan mendapat perlawanan yang cukup untuk kejohanan ini,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Selain Poland dan Malaysia yang merupakan pasukan No. 13 dunia, turut mengambil bahagian pada kejohanan itu ialah India (No. 5 dunia), Kanada (No. 10 dunia), Korea Selatan (No. 17 dunia) dan Jepun (No. 18 dunia). – K! ONLINE











