Saya atau kamu keluar - Sathianathan - Utusan Malaysia

Saya atau kamu keluar – Sathianathan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – ‘Saya atau kamu keluar’ tegas ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan selepas skuad Gergasi Merah melakukan kebangkitan dramatik untuk menundukkan Kuala Lumpur 3-2 dalam aksi derbi Lembah Klang di Stadium Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Jelasnya, pemain sudah tahu beliau berada di bawah tekanan selepas media sering mengapi-apikan keadaan berkenaan status masa depannya bersama pasukan sekiranya tewas di Cheras.

Sathianathan memberitahu pemain bahawa tiada apa yang akan hilang tetapi beliau akan pergi jika mereka gagal melakar kemenangan ketika berdepan Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas bolos satu gol jelas kita dapat lihat Selangor seperti sudah tidak boleh bermain.

“Pada waktu rehat, saya kata tiada apa yang hilang dalam pasukan cuma saya sahaja yang akan pergi jika tewas, itu sahaja,” katanya selepas perlawanan semalam.

Dalam aksi berkenaan, Selangor terlebih dahulu ketinggalan dua gol pada babak pertama menerusi sentuhan Muhammad Syafwan Syahlan dan Indra Putra Mahayuddin sekali gus memperlihatkan seolah-olah skuad Gergasi Merah bakal meratapi kekalahan ketika bertandang ke tempat lawan.

Bagaimanapun, memasuki babak kedua, Selangor mampu melakukan kebangkitan dalam tempoh 12 minit dengan tiga gol masing-masing menerusi jaringan Sandro Da Silva, Mohd. Syazwan Zainon dan Amri Yahyah sudah cukup untuk membuatkan skuad Warga Kota terduduk dan terus kempunan pungut tiga mata pertama musim ini.

Sementara itu, Sathianathan menjelaskan beliau tidak merasakan pemain melakukan protes terhadap dirinya berdasarkan kebangkitan skuad Gergasi Merah dalam perlawanan keenam Liga Super.

“Pada babak kedua saya masukkan Amri untuk tenangkan keadaan serta melakukan pertukaran taktikal dari 4-3-3 kepada 4-4-2 dan ternyata ia mampu menghidupkan semula permainan Selangor.

“Jika benar pemain mahu jatuhkan saya, sudah tentu Selangor dihukum dengan kekalahan 0-4 atau 0-5,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini