KUALA LUMPUR 11 Mac – Malaysian Relief Agency (MRA) mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi memperkukuhkan kerja-kerja kemasyarakatan kedua-dua pihak tersebut.
Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, kerjasama itu dilakukan selepas pihaknya serta USIM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori USIM, Nilai Negeri Sembilan.
“MRA akan bekerjasama dengan pihak USIM dalam melaksanakan misi kemanusiaan di lapangan, kajian kemasyarakatan, bengkel mahasiswa, penyelidikan serta pelbagai aktiviti berunsur penerbitan dan akademik.
“Menerusi kerjasama strategik ini, mahasiswa USIM akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran lapangan yang berstruktur agar graduan beriltizam tinggi, dinamik dan prihatin dengan persekitaran sekeliling dapat dilahirkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain Mohd. Daud, yang turut hadir Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.
Mengulas lanjut, Mohd. Daud berkata, USIM dan MRA akan mengadakan satu seminar perkongsian bersama mahasiswa mengenai aktiviti misi serta bantuan kemanusiaan di negara bergolak, Yaman nanti.
Katanya, mahasiswa USIM telah menyertai pelbagai program kemasyarakatan yang dianjurkan MRA sejak 2010 sehingga sekarang dan melalui MoU tersebut, kerjasama itu dapat dilakukan secara formal. -UTUSAN ONLINE











