Amaran keras kepada penyewa, pemilik PPR - Utusan Malaysia

Amaran keras kepada penyewa, pemilik PPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 11 Mac – Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran keras kepada penyewa dan pemilik kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan unit mereka kepada pihak lain, bakal berdepan tindakan tegas termasuk hukuman penjara jika sabit kesalahan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya menerima dan maklum aduan orang awam berkenaan isu penyewa dan pemilik PPR yang menyewakan unit kediaman PPR mereka kepada pihak lain.

Beliau berkata, secara jelas syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR telah tertera klausa yang menetapkan bahawa, penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, sama ada secara penuh (untuk keseluruhan kediaman) ataupun sebahagian daripada kediaman (sewaan bilik).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi pihak yang telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui ini, satu Notis Penamatan oleh Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan akan diberikan.

“Di dalam perjanjian penjualan rumah PPR pula, terdapat syarat yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Jual Beli & Surat Akuan Bersumpah  bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah “untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain.”

“Mereka yang melanggar syarat ditetapkan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960, sekiranya didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Zuraida berkata, amaran telah diberikan dan tindakan tegas akan diambil oleh KPKT dalam menangani penyalahgunaan PPR iaitu penyewaan atau penjualan tidak sah, dalam masa terdekat.

“KPKT turut akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang mengiklankan (pengiklan) penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum, termasuk melalui portal sewa/beli hartanah ataupun melalui media sosial,” katanya.

Menurut Zuraida, maklumat yang sahih dan sah mengenai penyewaan dan pembelian unit kediaman PPR hanya akan dipaparkan di laman sesawang rasmi Jabatan Perumahan Negara KPKT iaitu http://ehome.kpkt.gov.my. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini