KUALA LUMPUR 11 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan penyewaan dengan menyewakan unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada pihak lain.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba menyewakan unit tersebut termasuk mengiklankan penjualan atau penyewaan unit berkenaan menerusi hebahan umum ataupun media sosial.
“Kementerian telah menerima dan mengambil maklum aduan orang awam berkenaan isu penyewa serta pemilik PPR menyewakan unit kediaman mereka kepada pihak lain.
“Amaran telah diberikan dan tindakan tegas akan diambil bagi menangani penyalahgunaan PPR, iaitu penyewaan atau penjualan tidak sah dalam masa terdekat selain turut mengambil tindakan tegas kepada pihak mengiklankan penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum, termasuk melalui portal sewa beli hartanah ataupun melalui media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zuraida berkata, tindakan itu juga secara jelas telah melanggar syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR.
“Berdasarkan perjanjian ini telah tertera klausa yang menetapkan bahawa, penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, sama ada secara penuh (untuk keseluruhan kediaman) ataupun sebahagian dari kediaman (sewaan bilik).
“Bagi pihak yang telah melanggar syarat-syarat telah ditetapkan dan dipersetujui ini, satu notis penamatan oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diberikan,” katanya.
Beliau menambah, dalam perjanjian penjualan rumah PPR pula terdapat syarat yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Jual Beli dan Surat Akuan Bersumpah bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain.
“Mereka yang melanggar syarat yang ditetapkan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 sekiranya didapati bersalah,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE











