Jangan terburu-buru buka sekolah tercemar - Utusan Malaysia

Jangan terburu-buru buka sekolah tercemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Mac – Kementerian Pendidikan tidak sepatutnya terburu-buru mengarahkan pembukaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih yang ditutup akibat pencemaran gas metana di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Pengajian Tinggi Wanita UMNO, Datuk Noraslina Zainal Abidin berkata, tindakan terburu-buru Kementerian Pendidikan menyebabkan beberapa pelajar SMK Pasir Putih dikejarkan ke hospital selepas terkesan dengan pencemaran tersebut.

“Sepatutnya dapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memberi jaminan kedua-dua sekolah itu benar-benar selamat sebelum arahan membukanya semula dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak kementerian juga perlu turun padang untuk memahami situasi yang berlaku di kedua-dua sekolah berkenaan sebelum membenarkannya beroperasi semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan lima murid menjadi mangsa pencemaran sisa dan gas kimia di Sungai Kimkim, berhampiran SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih berada dalam keadaan kritikal.

Mengulas lanjut, Noraslina berkata, beliau amat berduka cita melihat gambar pelajar diusung dan dibawa dengan ambulans hanya beberapa jam selepas memulakan sesi persekolahan hari ini selepas dipercayai terhidu gas tercemar itu.

Katanya, insiden tersebut adalah bencana yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak seperti Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG) dan alumni sekolah untuk memastikan pihak kementerian mengambil langkah sewajarnya.

“Apa pun, kami amat berterima kasih kepada pihak bomba yang bertindak pantas mengarahkan penutupan semula kedua-dua sekolah berkenaan sebelum kejadian lebih buruk berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini