BUKIT KAYU HITAM 11 Mac – Cubaan 22 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menyusup masuk ke negara ini berjaya dipatahkan apabila ditahan pasukan Batalion ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) di Bukit Tangga di sini, semalam.
Panglima 6 Briged, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, kesemua PATI berusia antara 14 hingga 53 tahun itu ditemukan kelaparan dalam dua rondaan berasingan di kawasan berbukit berhampiran Pos 1 dan Pos 2.
Menurutnya, dalam kejadian pertama pada pukul 9.40 pagi, kumpulan ronda 5RS ternampak 16 lelaki dan empat wanita sedang berjalan di kawasan bukit berkenaan.
“Selepas dikepung, PATI terbabit menyerah diri dan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah dan mendapati mereka berada dalam keadaan lemah dan kelaparan.
“Kesemua mereka yang ditemukan berhampiran Pos 1 itu dipercayai menempuh perjalanan jauh termasuk merentasi bukit untuk sampai ke sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Abdul Aziz, dalam rondaan kedua pada pukul 3.40 petang, pasukan tersebut menemukan dua lagi lelaki yang sedang berjalan di kawasan bukit di Pos 2.
“Dua lelaki dipercayai daripada kumpulan pertama itu juga menyerah diri selepas ternampak pasukan berkenaan sebelum diberikan minuman kerana keletihan.
“Kesemua 22 PATI ini kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











