IPOH 11 Mac – Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming tidak layak bercakap mengenai perpaduan kerana rekod menunjukkan beliau seorang ejen perpecahan yang sering menanam semangat kebencian yang mengganggu keharmonian antara kaum.
Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sehubungan itu Kor Ming perlu berhenti daripada berlakon kononnya sebagai pejuang kebangsaan selepas mengundang kemarahan rakyat susulan kenyataannya gabungan UMNO-Pas akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.
Menurutnya, Kor Ming tidak perlu berpura-pura untuk menutup keterlanjuran sendiri memandangkan Ahli Parlimen Teluk Intan itu sememangya sudah dikenali rakyat sebagai orang yang kerap meniup api permusuhan.
Menurutnya, malah ucapan-ucapan Kor Ming yang berbaur perkauman dan kebencian telah menjadi malar segar di internet.
Katanya, rakyat tidak boleh lupa bagaimana Kor Ming membakar kemarahan rakyat dengan menggambarkan pemberian duit raya ketika sambutan Aidilfitri sebagai pemberian dedak.
“Kor Ming juga pernah dikritik hebat kerana mempersoalkan peruntukan lebih besar kepada masjid berbanding rumah ibadat lain.
“Begitu juga ucapan-ucapan dalam ceramahnya yang sarat dengan maki hamun dan sumpah seranah selain pernah dirakam mencarut dengan kata-kata berbaur lucah terhadap musuh politiknya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Saarani yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak berkata, Kor Ming juga pernah menghamburkan kata-kata nista terhadap bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dengan gelaran ‘hitam metalik’ sehingga terpaksa meminta maaf selepas dikecam hebat pelbagai pihak.
Menurut Saarani, malah Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah menjadi mangsa kebiadaban Kor Ming apabila menyatakan beliau akan ‘pergi’ tidak lama lagi menyertai bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, bermain mahjong di dunia lain.
“Justeru, agak melucukan apabila Kor Ming mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah sedangkan kecaman rakyat terhadap beliau adalah berpunca dari keceluparannya sendiri,” katanya.
Tambah Saarani, Ahli Parlimen Teluk Intan itu harus ingat pada zaman internet, setiap ucapan dan kata-kata Kor Ming direkodkan dan tidak boleh dipadamkan di internet yang masih lagi dapat ditonton oleh rakyat.
“Tidak menghairankan sekiranya selepas ini Kor Ming mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman dan kebencian kerana beliau mungkin percaya bahawa hanya dengan bersikap sedemikian akan membantunya terus hidup dalam pentas politik DAP,” ujar Saarani. – UTUSAN ONLINE











