“Ya, saya memang suka mengajuk suara rakan-rakan dan guru sejak di bangku sekolah. Disebabkan saya juga suka menyanyi, jadi saya tampilkan bakat meniru suara artis kesayangan Malaysia,”.
Itu reaksi Muhammad Amir Syafiq Mohd. Sadri, 21, kepada Utusan Malaysia sewaktu ditanya mengenai video meniru gaya nyanyian artis popular wanita Malaysia.
Fleksibiliti vokalnya daripada mengajuk nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, ke lontaran tinggi Dayang Nurfaizah sehinggalah ke serak gemersik suara Elizabeth Tan, memang 99 peratus sama.
Video nyanyian dengan aksi bersahaja ditampilkan turut tular kerana ‘berjaya’ menghiburkan ramai warga maya terutamanya ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lalu.
ARTIS WANITA
Pemegang Diploma Teater, universiti awam ini memberitahu, tindakannya memuat naik video nyanyiannya di laman Twitternya dan di instagram amsyar_leee miliknya, hanyalah sekadar menggembirakan hati, sementelah dirinya memang suka menyanyi.
Katanya, daripada situlah beliau pelbagaikan cara dengan merujuk video perkongsian individu popular yang juga berkebolehan mengajuk suara orang lain, seperti Idayu Akademi Fantasia (AF) , Danial Zain dan Amirul Syakir.
“Saya terhibur menyaksikan video sendiri. Lebih daripada itu video itu bukanlah saya adakan semata-mata atas tujuan kandungan di media sosial sepertimana orang ramai fikirkan,” katanya.
Komen positif diterima daripada pelbagai golongan tidak kira tua atau muda turut menjelaskan content dan kelainan ditampilkan itu menerima sambutan khalayak, malah diluar jangkaan dirinya.
“Saya tidak menyangka malah terkejut ia mendapat sambutan,” katanya.
Menyingkap mengenai ‘pembabitan awal’ dirinya dalam meniru suara artis wanita ternama negara, anak sulung daripada tiga beradik ini memberitahu Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah suara pertama ditirunya.
“Tahun ni adalah tahun ketiga saya tular selepas kemunculan pertama pada 2018 dengan menampilkan lagu Nirmala.
“Saya pun tak sangka ia mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan remaja tapi orang tua-tua juga. Mereka ada meninggalkan mesej memberitahu mereka terhibur dengan lakonan saya,” tambahnya.

Di sebalik pujian diterima, Amir mengakui turut mendapat teguran penonton supaya menjaga diri dan tidak terjerumus ke arah keperempuanan kerana ramai juga keliru dengan jantina pemuda berasal dari Selama, Perak ini.
Melihatkan kepada watak nyanyian wanita sering ditonjolkan, Amir mengakui ramai yang bimbang sekiranya dia bertukar ke arah lelaki lembut dan menjadi ‘adik-adik’.
“Walaupun ramai mengatakan terhibur dengan perkongsian video saya, tapi mereka turut memberikan nasihat agar saya tidak terjerumus ke arah wanita. Kalau orang tanya mengenai suara saya, realitinya suara saya memang tidak terlalu kelakian atau keperempuanan, sebaliknya lebih kepada manja dan tidak kasar.
“Apa saya tonjolkan dalam video hanya sekadar menyesuaikan dengan watak nyanyian. Saya sebaliknya masih menjaga penampilan sebagai lelaki, sungguhpun secara realitinya saya memiliki tutur kata lemah lembut,” katanya.
Tidak setakat itu, beliau mendedahkan turut menerima kecaman daripada warga maya yang kurang senang melihat video-videonya meniru suara.
Katanya, banyak kecaman yang diterima daripada laman media sosial seperti Facebook (FB) yang tidak percaya bahawa itu suaranya. Malah ada yang mengatakan suaranya tak seiring rupa serta pelbagai kata nista dilemparkan.
Bagaimanapun, pengalaman pernah tular beberapa tahun lalu menjadikan dia sudah memahami asam garam kecaman di warga maya malah mengambil pendekatan untuk tidak peduli dengan perkara itu.
“Saya tak kisah pun dan tak ambil hati. Setakat ini saya tidak membalas kata-kata negatif dari mereka. Saya seorang yang tenang dan selalu berfikiran positif.
“Senang cerita saya memang dan tanamkan awal-awal dalam pemikiran saya untuk tidak memikirkan kata-kata negatif daripada orang ramai sebaliknya mahu terus maju ke hadapan,” katanya.
MAHU SAMBUNG BELAJAR
Bercita-cita menjadi guru teater, Amir berkata buat masa sekarang beliau masih belajar selok belok bidang teater.
Beliau yang kini memasuki fasa latihan industri semester lima menjelaskan minat terhadap seni terbit sejak dibangku sekolah menengah lagi.
“Elemen seni bagaikan sudah sebati dengan diri saya,” katanya yang turut menaruh impian untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Muda dalam bidang muzik pula suatu hari nanti.










