ALOR SETAR 11 Mac – Polis membuka kertas siasatan berhubung perarakan Women’s March di ibu negara, Sabtu lalu kerana dipercayai menganjurkan perhimpunan tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan memanggil penganjur perarakan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Memang ada laporan polis dibuat, namun setakat ini belum ada yang dipanggil untuk diambil keterangan dan kita akan memanggil mereka (penganjur) selepas ini kerana kegagalan mereka memohon atau memaklumkan penganjuran itu kepada Ketua Polis Daerah.
“Selepas keterangan diambil barulah kita akan merujuk kepada Peguam Negara untuk menentukan sama ada penganjur ini akan dituduh atau tidak,” katanya selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah yang baharu di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Tambah Noor Rashid, walaupun penganjur mendakwa mereka mempunyai hak untuk membawa isu yang diperjuangkan dalam perarakan itu, namun mereka juga perlu menghormati hak orang lain.
“Apabila hendak berkumpul secara beramai-ramai, secara tidak langsung mereka akan menjejaskan aktiviti orang lain, mungkin ada warga kota yang mahu berehat atau membawa anak-anak dan keluarga bersiar-siar, namun perjalanan mereka terganggu disebabkan perarakan berkenaan.
“Selain itu, jika terdapat ambulans membawa pesakit, perjalanan mereka juga terganggu sehingga menjejaskan keadaan pesakit itu, maka dalam hal ini permohonan haruslah dibuat melalui Ketua Polis Daerah supaya kita dapat membuka laluan alternatif kepada perarakan itu atau maklumkan kepada masyarakat berkenaan aktiviti yang akan diadakan,” katanya.
Dalam perarakan Women’s March kelmarin, penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dirakam mengambil kesempatan melaungkan slogan seperti ‘Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan terhadap golongan itu.
Tindakan itu mengundang rasa marah dalam kalangan masyarakat kerana didakwa semakin melampau dan mencabar undang-undang serta kesabaran umat Islam kerana menyokong pergerakan LGBT.
Pelbagai laporan polis kemudian dibuat oleh individu dan organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang membantah tindakan penganjuran perarakan itu. -UTUSAN ONLINE











