Kisah hidup Wak Doyok jadi pilihan - Utusan Malaysia

Kisah hidup Wak Doyok jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi antara ikon fesyen terkenal di Indonesia ketika ini, kata Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 39, dia sendiri tidak menyangka namanya menjadi pilihan penerbit filem di sana.

Memuatkan artikel berkaitan…

Merasakan dirinya masih kerdil untuk diberikan penghormatan seperti ini, namun ini tidak bermakna dia perlu menolak tawaran agar kisah hidupnya difilemkan.

WAK DOYOK (dua kanan) bersama sebahagian selebriti pada Majlis Karnival Jualan Bling Bling Tour 2019
WAK DOYOK (dua kanan) bersama sebahagian selebriti pada Majlis Karnival Jualan Bling Bling Tour 2019.

“Semua ini masih dalam proses perbincangan sebenarnya tetapi saya sudah dihubungi pihak produksi mengenai hal ini. Memang tidak sangka apabila nama saya dipilih mereka berbanding Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Amy Search sendiri.

“Tetapi saya difahamkan ini berdasarkan undian yang dibuat dan nama saya menerima undian tertinggi peminat di Indonesia.

“Sebenarnya sejak dari tahun 2015 lagi saya sudah berulang alik ke sana selain mengadakan seminar mengenai cara pemakaian, nama saya juga turut mewakili beberapa produk di sana,” katanya.

bahasa Jawa yang sentiasa menjadi pertuturan Wak Doyok di Indonesia
Bahasa Jawa yang sentiasa menjadi pertuturan Wak Doyok di Indonesia .

Bakal diarahkan pengarah terkenal Indonesia, Hanung Bramantyo kongsi Wak Doyok, antara intipati utama filem biografi ini adalah berkisarkan tentang bagaimana kehidupannya dahulu sebelum bergelar seorang usahawan terkenal.

“Saya difahamkan filem ini akan diarahkan pengarah terkenal dan tentunya akan menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya.

“Filem ini akan menceritakan permulaan saya sebagai seorang yang tidak punya apa-apa dan bagaimana perjalanan saya untuk berada di tahap kini. Memang saya akan terlibat sepenuhnya memandangkan ini adalah kisah hidup saya,” katanya lagi.

Merupakan seorang pelakon, Wak Doyok bagaimanapun tidak melihat dia mampu untuk berlakon sebagai dirinya sendiri dalam filem tersebut.

Namun kongsinya, dia juga akan terlibat dalam sesi pemilihan pelakon yang akan membawakan watak dirinya itu.

“Memang saya akan diberi peluang untuk memilih watak yang sesuai. Buat masa ini saya sudah melihat antara pelakon berjambang yang sesuai untuk membawakan watak saya adalah rakan sendiri iaitu Alex Abbad yang juga seorang pelakon terkenal.

“Buat masa ini juga saya tidak tahu sama ada filem ini akan ditayangkan di Malaysia. Mungkin jika ada permintaan ia akan ditayangkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Karnival Jualan Bling Bling Tour 2019 di Damansara, Selangor baru-baru ini.

JADI PILIHAN

Menjadi pilihan peminat di Indonesia, kata Wak Doyok antara faktor yang membuatkan dia mudah diterima di sana adalah melalui kemampuannya bertutur dalam bahasa Jawa.

“Selalunya setiap kali mengadakan seminar di sana saya akan berada di daerah-daerah berbeza, jadi dari situ peminat di Indonesia mengenali saya.

“Berasal dari Malaysia tetapi saya mempunyai darah Jawa dan fasih bertutur dalam bahasa Jawa membuatkan mereka menerima saya,” katanya.

WALAUPUN Wak Doyok seorang pelakon tetapi dia tidak mahu membawakan watak dirinya sendiri..
WALAUPUN Wak Doyok seorang pelakon tetapi dia tidak mahu membawakan watak dirinya sendiri.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pendapat sesetengah pihak yang mungkin tidak senang dengan penerbitan filem ini kelak, Wak Doyok tidak melihat ada masalah untuk dirinya dalam soal tersebut memandangkan idea untuk menerbitkan filem ini bukan datang daripada pihaknya.

“Jika saya yang keluarkan duit untuk menerbitkan filem ini mungkin terma yang akan digunakan ‘syok sendiri’. Dalam hal ini saya tidak mengeluarkan sebarang pelaburan atau duit untuk menerbitkan filem biografi ini.

“Jadi kalau saya tidak terima rasanya tidak patut dan rugi memandangkan usaha itu datang dari pihak luar,” kongsinya.

DEDAH KISAH CINTA

Merupakan seorang yang agak perahsia dalam soal cinta, tentunya antara babak utama yang akan diberikan perhatian dalam filem ini kelak adalah kisah percintaannya yang sebelum ini menjadi tanda tanya ramai.

KUALA LUMPUR 7 MAC 2019 - Photoshoot Wak Doyok selepas sidang
 

Tidak menolak dia akan berkongsi secara jujur namun jelas Wak Doyok ada bahagian dalam kisah itu yang tidak akan menggunakan nama sebenar.

“Saya akan dedahkan, cuma watak itu akan sedikit berbeza namun saya akan jujur dengan perjalanan kisah cinta saya dalam filem ini.

“Memandangkan ini kisah hidup saya pastinya saya akan berkongsi dengan penonton,” katanya.

Menjawab soal perkahwinan Wak Doyok bagaimanapun tidak melihat dia perlu tergesa-gesa dalam soal ini.

Kata jejaka yang berasal dari Klang Selangor ini, dia sudah mempunyai perancangan ke arah itu namun ia hanya akan berlaku dalam tempoh empat tahun lagi.

“Sekarang saya baru 39, sasaran untuk saya berumah tangga mungkin lagi empat tahun.

“Bukan apa masih banyak yang perlu saya buat untuk perniagaan selain fokus dalam kerjaya,” katanya.

Tidak berahsia dia kini sedang dilamun cinta dengan seorang gadis, kongsi Wak Doyok kali ini dia tidak kisah untuk memberitahu pilihan ini datang dari keluarganya.

“Kami sudah berkawan dalam tempoh yang agak lama. Bagaimanapun kami masih belum memikirkan soal jodoh memandangkan dia juga baru sahaja memulakan pekerjaan sebagai seorang doktor.

“Sebenarnya ini pilihan keluarga,” katanya ringkas.

Sementara itu bercakap mengenai Karnival Jualan Bling Bling Tour 2019, kongsi Wak Doyok dia dipilih menjadi duta untuk karnival tersebut.

Karnival yang bakal berlangsung pada penghujung Mac ini akan diadakan di empat buat negeri bermula di Melaka pada 29 Mac ini .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN