Fareeda bukanlah nama baharu dalam industri fesyen tudung muslimah di negara ini. Rekaannya yang eksklusif dan mempunyai pelbagai rekaan sentiasa menjadi tarikan wanita.
Sebut sahaja Fareeda, sudah pasti terbayang di dalam fikiran kita mengenai kualiti tudung yang cantik dan minimalis untuk digayakan ke mana-mana majlis.
Setelah berada di pasaran selama hampir 12 tahun, Fareeda kini lebih berani bergerak ke hadapan dengan mengubah rekaan tudungnya agar nampak lebih moden dan sesuai dengan peredaran zaman.
Menurut Ketua Pemasarannya, Suhaili Mohamad, Fareeda telah menghasilkan selendang mawar satin eksklusif yang boleh diversatilkan dengan empat gaya menarik untuk dipakai, sama ada ke tempat kerja atau aktiviti riadah.
“Rekaan kali ini lebih moden dan santai dengan menggunakan material yang berkualiti supaya nampak lebih eksklusif apabila digayakan oleh pemakai.
“Paling unik mengenai rekaan baharu ini adalah selendang tersebut tidak perlu menggunakan pin tudung memandangkan Fareeda telah menggunakan inovasi ‘metal hook’ untuk memudahkan pemakai,” katanya pada sidang media Penjenamaan Semula Fareeda dan Pencarian Wajah Baru Fareeda di Bangi. Turut hadir ialah Ketua Operasi Pemasaran dan Jualan Kumpulan Fareeda, Mahathir Abdu; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fareeda, Andry Suhermanto; Pengarah Urusan Kumpulan Fareeda, Faridah Zakaria; Pengarah Urusan Fareeda, Aminuddin Basiron; Naib Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Puan Sri Dayang Normala Awang Tambi dan Pengarah Kanan Fareeda, Mawar Abdul Karim.
Mengulas lanjut, Suhaili berkata, selendang rekaan baharu itu memfokuskan kepada golongan berusia 17 tahun dan ke atas kerana rekaan itu mampu menarik golongan muda.
“Terdapat 10 warna pilihan, antaranya merah, kelabu, hitam dan biru. Kesemuanya cantik digayakan ke mana sahaja.
“Selendang ini juga selesa dipakai kerana tidak panas dan senang dibentuk mengikut pelbagai gaya kerana terletak cantik di atas kepala,” katanya.
Suhaili juga berkata, Fareeda mempunyai peminat tersendiri kerana rekaannya yang unik dan berkualiti.
“Selendang tanpa pin ini diyakini mampu memberikan imej segar dan remaja kepada si pemakai,” katanya.
Dalam pada itu, Fareeda turut dikenali sebagai FRDA by Fareeda bagi mengekalkan jenama ini sebagai tudung eksklusif dengan rekaan yang terkini dan menarik, bersesuaian dengan permintaan pasaran.
“Penjenamaan semula Fareeda ini bertujuan memartabatkan tudung buatan Malaysia ke pasaran global, sekali gus memperkenalkan imej bertudung sebagai ‘Trendy Beauty Headgear’,” katanya.











