KUALA LUMPUR 20 Mac. – Sebanyak 34 peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang di sini dikenakan kompaun sehingga RM7,250 kerana tidak meletakkan tanda harga serta gagal menentusahkan alat timbang dan sukat di bawah Akta Timbang Sukat 1972.
Tindakan itu diambil menerusi Operasi Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNHEPWPKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Low Swee Hon berkata, jumlah kompaun tersebut melibatkan 17 kes masing-masing dilakukan oleh peniaga di kedua-dua pasar berkenaan.
“Bagi memastikan peniaga mengikut peraturan yang ditetapkan, pemeriksaan akan dipertingkatkan ke seluruh pasar bersama agensi lain.
“Selain itu, sepanjang empat jam operasi diadakan sebanyak sepuluh kes sitaan barangan peniaga diambil oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi yang berakhir pukul 6 pagi tadi.- UTUSAN ONLINE










