PASIR GUDANG 10 Mac – Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di sini yang ditutup hari ini dijangka beroperasi semula esok.

Guru Besar SK Taman Pasir Putih, Abd. Rashid Ahmad berkata, ini kerana kerja-kerja pembersihan sudah dilakuan pada hari ini melibatkan seramai 120 sukarelawan.
“Tambahan pula kualiti udara sudah semakin baik ketika ini. Namun langkah berjaga-jaga tetap akan diambil termasuk 1,118 murid dan gurunya akan memakai penutup mulut keselamatan.
“Walau apapun kita menanti arahan sahaja. Guru dan murid sekolah ini dilatih dua kali dalam setahun, pertama untuk hal-hal kecemasan dan kedua berkaitan pencemaran.
“Ini kerana sekolah ini berhampiran dengan kawasan industri, jadi murid-murid memang sudah dilatih dan bersedia dengan sebarang kemungkinan,” ketika ditemui di sini sebentar tadi.
Khamis lalu SK Pasir Putih dan SMK Pasir Putih ditutup ekoran 35 mangsa terhidu bahan kimia dibuang secara haram di Sungai Kim Kim kira-kira 500 meter dari kedua-dua sekolah itu.
Setakat ini seramai 75 menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dan kedua-dua sekolah tersebut mendapat arahan untuk ditutup empat hari sejak Khamis lalu. – UTUSAN ONLINE











