KUALA TERENGGANU 10 Mac – Pemeriksaan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dijalankan ke atas Muhammad Syukur Khamis, 14, tidak menemukan sebarang pendarahan pada otak pelajar berkenaan.
Video oleh AZLAN BAHRUM
Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Nor Azimi Yunus berkata, secara amnya keadaan Muhammad Syukur stabil dan sihat walaupun mengalami gejala seperti pening dan muntah sebanyak empat kali selepas terjatuh dari kerbau, semalam.
Katanya, pada mulanya pihak hospital mengesyaki pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu mengalami gegaran otak (cerebral concussion) susulan kejadian tersebut namun, hasil pemeriksaan yang dilakukan adalah normal dan tiada kesan serius dikesan.

“Memandangkan tiada pendarahan yang kita takuti itu jadi, adik Syukur dirawat sebagai konservatif sahaja, cuma diberikan ubat tahan sakit dan kita masih memantau dia.
“Sehingga ke hari ini kita dapati keadaannya telah bertambah baik dan kemungkinan sudah boleh discaj,” katanya kepada pemberita selepas melawat Muhammad Syukur di Wad 2, HSNZ di sini pagi ini.
Muhammad Syukur yang terkenal dengan jolokan Syukur Kampung Boy terjatuh dari kerbau ternakan bapanya ketika bermain bersama rakan-rakan sejurus selesai menjalani sesi fotografi pada pukul 7 pagi semalam.
Menurut Nor Azimi, Muhammad Syukur dikejarkan ke HSNZ kira-kira pukul 9 malam tadi selepas keluarga melihat keadaannya yang bertambah teruk selepas kejadian tersebut.
Katanya, gejala muntah itu merupakan normal bagi seseorang yang terjatuh dan berkemungkinan pada waktu itu otak mangsa bergegar tetapi tidak sampai ke tahap pendarahan otak.
Muhammad Syukur diberikan cuti sakit selama empat hari bermula semalam hingga Selasa. – UTUSAN ONLINE











