ALOR SETAR 10 Mac – Cadangan pembentukan kerajaan ‘Penyatuan Ummah’ antara UMNO-Pas merupakan tawaran terbaik pembangkang untuk menunjukkan kesungguhan mereka membela rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu juga bertepatan setelah pelbagai ketidaktentuan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) membela nasib rakyat dan negara.
Menurutnya, pembentukan kerajaan campuran di empat buah negeri iaitu Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan dilihat rakyat sebagai erti kesungguhan pembangkang untuk berkhidmat kepada mereka dengan lebih berkesan.
“Pendekatan Barisan Nasional (BN) dan Pas mengorak langkah memperkemaskan tenaga pembangkang dengan mewujudkan kerajaan campuran adalah satu langkah ke hadapan
setelah 10 bulan negara di bawah kerajaan PH.
“Malah, jika Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini menjadi ukuran, maka rakyat sedang menilai dan membandingkan antara PH dan pembangkang,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Selepas menjalinkan kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas, kedua-kedua parti itu terus mengorak langkah apabila UMNO berhasrat mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai kerajaan ‘Penyatuan Ummah’ di empat buah negeri yang kini ditadbir BN dan Pas.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, hasrat itu telah dibincangkan dengan Pas pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti, baru-baru ini dan ia masih di peringkat cadangan sebelum tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, PH kini berada pada posisi teramat rendah di mata rakyat sekiranya mengambil kira trend dan polar pengundian yang mengukur sejauh mana tahap kebolehlaksanaan manifesto serta janji PH ditunaikan.
“Disamping itu juga, (rakyat menilai) kemampuan pentadbiran negara khususnya dalam menguruskan ekonomi serta soal asas kemampuan sara hidup rakyat ditangani oleh kerajaan hari ini.
“Apa-apa pun, rakyat sudah membuat pilihan contohnya Semenyih milik pembangkang selain berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti kemenangan yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











